The loved ones..

The loved ones..

Wednesday, June 10, 2009

Puting Tenggelam?

Bolehkan anda menyusukan bayi dengan puting yang tenggelam?

Puting yang tenggelam bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan. Sebenarnya terdapat antara 28-35% dari wanita yang hamil kali pertama mempunyai puting yang tidak timbul dengan sempurna (Hyttch & Baird, 1958; Blaikeley, 1953; Waller, 1946). Kehamilan merupakan tempoh penting perkembangan dan tumbesaran payu dara. Bakal-bakal ibu yang dahulunya memiliki puting tenggelam atau mendatar kini mungkin mendapati puting mereka mula menonjol apabila menghampiri masa untuk bersalin. Penonjolan dan pembentukan puting akan bertambah baik setiap kali kehamilan dan setiap kali anda melalui pengalaman menyusu anak.

Apabila anda berada dalam trimester terakhir kehamilan, anda bolehlah memeriksa puting anda. Tekan areola di bahagian pangkal puting. Dengan menggunakan ibu jari dan jari telunjuk, tekankannya ke dalam dada. Jika puting kekal pada kedudukan yang sama dan tidak terjojol, ini bermakna anda memiliki puting yang leper. Tetapi jika tekanan ini menyebabkan puting anda masuk ke dalam, ini menandakan puting anda tenggelam. Sebenarnya , kes puting yang benar-benar tenggelam jarang berlaku.
Anda boleh terus menyusukan bayi dengan puting yang tenggelam. Tidak semestinya anda mesti mempunyai puting yang terjojol baru boleh berjaya menyusukan anak. Bentuk puting ketika rehat tidak menunjukkan setakat mana ia akan menonjol ketika bayi menghisapnya.

Kedudukan yang betul ketika menyusu adalah sangat penting. Sentuhkan bibir bayi dengan puting anda berkali-kali dan tunggu sehingga bayi membuka mulutnya dengan luas seperti menguap. Tarik sedikit payu dara anda ke belakang dengan memastikan ibu jari dan jari-jari anda jauh dari areola apabila mulut bayi mula melekap pada payu dara anda. Ini memberi ruang kepada bayi memasukkan seberapa banyak yang boleh bahagian areola ke dalam mulutnya. Apabila bayi diletakkan pada kedudukan yang betul, tisu payu dara dapat dihisap dengan sempurna seolah-olah seperti puting.
Menyusu bayi dengan puting yang tenggelam kadangkala merupakan satu cabaran. Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang mempunyai puting yang tenggelam atau leper lebih mudah terkeliru apabila menghisap. Keadaan ini berlaku apabila ia diberi puting tiruan di awal-awal minggu penyusuannya. Kenapa ini terjadi, penjelasannya adalah mudah.

Meletakkan bayi ke payu dara anda selepas sahaja ia dilahirkan adalah sangat penting untuk 'mengingatkannya' bentuk puting ibunya. Bayi akan menjadi biasa dengan bentuk puting dan payu dara anda. Dalam kebanyakan kes, bayi boleh diletakkan terus ke atas dada anda. Biarkan ia menjilat dan menghisap puting anda.

Bayi yang dibiarkan berbuat demikian sejurus selepas dilahirkan lebih berjaya menghisap susu dari ibunya, walaupun ibu tersebut mempunyai puting susu yang tidak terjojol. Elakkan dari mengguna puting tiruan sehingga penyusuan dengan susu ibu telah benar-benar mantap. Jika terpaksa memberi tambahan susu formula, picagari atau cawan boleh digunakan dari awal sementara berusaha membina hubungan penyusuan antara anda dan bayi. Pastikan anda mendapat bantuan dan sokongan dari pihak hospital atau kaunselor penyusuan berkaitan dengan teknik dan kedudukan semasa menyusu sejak dari mula lagi. Dapatkan latihan yang cukup sehingga anda benar-benar mahir tentang teknik penyusuan ini ketika payu dara anda masih lembut dan mudah dipegang.

Amatlah berguna jika anda dapat memerah atau mengepam susu untuk beberapa minit sebelum memasukkan puting anda ke dalam mulut bayi. Ini akan membantu pengaliran susu yang baik. Memerah susu ke bibir bayi juga dapat menarik minat bayi anda.

p/s : Inilah antara masalah yang aku hadapi..moga kali ni dapat di atasi.. insyallah..

No comments:

Post a Comment