The loved ones..

The loved ones..

Saturday, April 10, 2010

Pekerjaan Pertama Adam

Minggu lepas, kita telah sama-sama menerokai pengalaman hidup Adam di kolej dan melihat bagaimana dia membiayai pelajarannya sendiri melalui pinjaman pelajaran serta memberi tuisyen secara sambilan. Minggu ini pula, kita akan bersama Adam apabila dia memulakan pengalaman baru dalam dunia pekerjaan diiringi babak-babak cinta. Namanya dipanggil dan Daniel menyiku rakan karibnya Adam. Tumpuan Adam masa itu adalah pada Aida, yang duduk di bahagian pertengahan dewan. Dia tengah memikirkan cara untuk mengambil gambar bersamanya. Walau bagaimanapun, dia cepat-cepat bangkit lalu naik ke pentas untuk menerima skrolnya. Ini merupakan detik yang amat membanggakan bagi Adam serta keluarganya. Dia akhirnya telah berjaya mendapat ijazah dengan kepujian dan juga tawaran pekerjaan yang tetap. Kemudian, di jamuan sambutan yang diadakan, Adam dapat memberanikan diri untuk meminta Aida untuk bergambar bersamanya dan bertukar-tukar nombor telefon. Mereka berjanji untuk terus berhubung dari masa ke masa... Adam memulakan kerjayanya di salah satu daripada lima firma perakaunan yang terbesar dan dia sangat sibuk dengan kerjanya. Dia dibayar gaji permulaan RM2,500 sebulan dan dengan bekerja lebih masa serta tuntutan lain, dia mendapat gaji purata sebanyak RM3,000 sebulan. Kini dia mempunyai lebih banyak pendapatan yang boleh diguna tetapi dia masih mempunyai komitmen lain yang perlu difikirkan. Dia mengambil keputusan untuk menyemak semula belanjawannya seperti berikut:



Di atas, kita dapat perhatikan bahawa Adam telah meletakkan "Tabungan" sebagai item pertama di lajur "Perbelanjaan". Ini selaras dengan prinsip bahawa kita haruslah selalu membayar pada diri kita dahulu. Oleh itu, dia memastikan dia meneruskan pelaburannya dalam amanah saham, malah kali ini dia menambahkan tabungan berkala kepada 10% daripada gajinya. Dia ada baca beberapa buku perancangan kewangan yang menyatakan bahawa seseorang haruslah menabung sekurang-kurangnya 10% atau lebih daripada pendapatannya berbanding jumlah caruman KWSP mereka. Malah ada sesetengah perancang kewangan yang menyarankan agar kita menabung setakat separuh daripada pendapatan kita. Ini termasuk caruman wajib KWSP daripada majikan dan pekerja yang berjumlah 23% untuk kebanyakan pekerja – yang bermakna kita perlu menabung jumlah selebihnya sebanyak 27% daripada pendapatan kasar kita! Ini pastinya suatu permintaan yang agak mustahil bagi ramai orang, khususnya mereka yang mempunyai anak, tetapi pengorbanan sedemikian dapat menjamin masa persaraan yang selesa.Perkara kedua pada senarainya adalah pembayaran semula pinjaman PTPTN. Dengan menggunakan kalkulator pinjaman di tapak web PTPTN (http://www.ptptn.gov.my) dia perlu membayar kira-kira RM150 sepanjang tempoh 180 bulan, pada kos pentadbiran sebanyak 1% setahun. Sebagai siswazah yang bertanggungjawab, sebaik sahaja dia menerima cek gaji pertamanya, Adam mula membayar balik pinjamannya, tanpa menunggu untuk surat tuntunan bagi pinjaman tersebut. Dia rasa sekiranya dia melambatkan ataupun lebih teruk lagi, tidak mengendahkan pembayarannya, dia sedang merampas peluang mahasiswa dan mahasiswi lain yang sangat memerlukan dana tersebut, lebih-lebih lagi, ia menghadapi risiko disenaraihitamkan daripada memohon pinjaman di masa depan!Oleh sebab Adam tinggal bersama ibu bapanya, dia dapat berjimat daripada belanja sewa, kalau tidak, dia perlu membelanjakan kira-kira RM300 untuk menyewa sebuah bilik di KL! Dengan penjimatan tersebut, dia memutuskan untuk memberi ibu bapanya RM250 setiap orang untuk menampung belanja makanan dan penginapannya. Sememangnya ia suatu tindakan yang menguntungkan kedua belah pihak kerana sambil membuat jasa pada ibu bapanya, dia dapat berjimat! Dia memperuntukkan RM500 untuk belanja makannya di luar rumah, khususnya bagi makan tengah hari dan makan malam sekiranya di perlu kerja lewat. Dia menganggarkan kos makanannya ialah RM20 sehari bagi 25 hari kerja dalam sebulan. Dia juga ketepikan RM500 untuk belanja pakaian dan hiburan kerana pastinya dia lebih sering keluar "makan-makan" atau keluar bersama-sama rakan sekerjanya dan RM100 boleh dihabiskan sekali gus!Adam juga ada niat untuk membeli kereta tetapi ingin menabung lebih banyak wang agar dapat mengeluarkan bayaran pendahuluan yang lebih besar untuk kereta pertamanya. Buat masa ini, dia akan menggunakan pengangkutan awam atau menumpang rakan-rakan sekerjanya yang memandu. Seperti dulu, dia mendapatkan Kad Perjalanan Bulanan, iaitu pas perjalanan bersepadu untuk bas awam dan LRT pada harga RM135 sebulan. Dia membundarkan jumlah ini kepada RM200 dan selebihnya untuk meliputi tambang teksi. Dia juga membajet RM100 bagi bil telefon bimbitnya yang pastinya akan bertambah dengan berkembangnya kehidupan sosialnya.Selepas mengambil kira kesemua perbelanjaan yang dapat diramalkan, dia gembira apabila mendapati dia masih mempunyai baki lebihan sebanyak RM300 setiap bulan. Semasa memikirkan cara untuk membelanjakan wang secara produktif, dia terbaca suatu artikel dalam majalah kewangan peribadi yang menekankan keperluan setiap dewasa yang bekerja memiliki polisi insurans. Dia membuat pertanyaan tentang jenis-jenis polisi yang paling sesuai buat dirinya dan selepas meneliti beberapa pilihan, dia memutuskan untuk mendapatkan polisi insurans. Dia dapati dia mampu mengetepikan 10% daripada gajinya kerana polisi insurans yang dipilihnya juga berfungsi sebagai alat penabungan yang tetap. Oleh itu, dengan belanjawan kira-kira RM250 sebulan, dia dapat membeli insurans bagi dirinya dan juga insurans perubatan yang disertakan dengan kad perubatan. Kad perubatan akan merangkumi kos rawatan hospital dan pembedahan sekiranya dia dimasukkan ke hospital. Meskipun dia mendapat perlindungan insurans daripada syarikatnya, dia rasa dia harus mendapatkan perlindungan insurans sendiri sebagai suatu sandaran keselamatan. Kini dengan peruntukan ini, dia boleh menggunakan hampir keseluruhan pendapatannya secara produktif.Semasa menjalankan tugasan auditnya, Adam terserempak dengan kenalan lamanya. Tak lain tak bukan rakan universitinya – Aida! “Wah, alangkah kecilnya dunia ini, pertemuan indah yang tak disangka dan lama diidam-idamkan!" katanya kepada dirinya. Aida menyandang jawatan sebagai eksekutif kewangan di bank tempat Adam sedang menjalankan audit dan dia segera mengecam Adam. Mereka sudah lama tidak berjumpa ataupun hubungi satu sama lain sejak menamatkan pengajian di universiti dan kenangan manis zaman universiti terlintas di fikiran. Aida adalah siswazah bidang perniagaan dan dulu mereka tinggal di hostel yang sama. Ada kalanya, mereka menghadiri kuliah bersama-sama rakan tetapi tidak pernah keluar berdua-duaan. Adam menyemak nombor telefonnya yang disimpannya sejak kali terakhir mereka bertemu dan mendapati nombornya masih sama. Dia meminta Adam membuat panggilan terlepas kepada telefon bimbit barunya dan alangkah terkejutnya Adam melihat gambar mereka berdua semasa di upacara penyampaian ijazah terpapar di telefonnya…dengan nama “Adam” berkilau-kilauan. Aida terasa malu dan tak dapat ucapkan apa-apa. ‘Lantas ‘wira’ kita Adam dengan segera mengawal keadaan dengan memberi senyuman manis dan berharap cinta yang baru berputik ini akan terus mekar…… (nantikan artikel keempat kami dalam siri 12 artikel)

No comments:

Post a Comment