Oleh Zulhilmi Hat
(Diterbitkan dalam SuratKhabar Berita Harian dalam Sisipan Joran pada 1 Mei 2010.)
DENGKIL: Eksperimen mengilat menggunakan umpan pancing layang ciptaan sendiri dipadankan dengan set kekili mendatar oleh Geng Kaki Casting (GKC) untuk menjerat ikan raja (peacock bass) di lombong terbiar dekat sini, akhirnya membuahkan hasilnya. Mana tidaknya, cubaan hampir enam bulan menggunakan pelbagai gewang pelbagai bentuk dan variasi warna di kawasan bekas lombong pasir yang dihuni ikan pendatang itu, membawa keputusan negatif.Berikutan itu, dua sekawan Pak Barau dan Ayie mengerah idea mencipta umpan pancing layang sendiri yang berbentuk serangga untuk memikat ikan lombong itu. Berbekalkan kira-kira 15 prototaip umpan serangga pepatung jenis tenggelam yang terdiri daripada pelbagai warna dan saiz dicuba untuk mengetahui keberkesanannya.
Kali ini, Pak Barau memilih lubuk berselirat dengan ranting kayu kerana berdasarkan pengalaman beliau ikan kerap melakukan sambaran pada lubuk sebegini. Balingan pertama Pak Barau diikuti dengan karauan tarik dan lepas seperti ikan cedera menerima sambaran ikan raja berskala 500 gram. Aktiviti memancing itu berlangsung sehingga petang walaupun cuaca semakin mendung yang menunjukkan hujan bakal menjengah bila-bila masa. Namun, dua sekawan itu yang menjadikan hobi memancing sebagai aktiviti riadah hujung minggu tetap gigih mempraktikkan umpan yang diperbuat daripada bahan nilon itu. Kali ini, Ayie yang mencuba kaedah karauan pantas di sekitar tepi lombong menggunakan umpan warna merah dan hijau yang dengan mudah memperdayakan ikan toman bersaiz lengan orang dewasa. Meskipun masih dianggap muda, daya juang mangsa untuk melepaskan diri cukup membuatkan hujung joran jenis aksi sederhana sepanjang 6’0 kaki milik Ayie mencecah air. Hingga lewat petang, kira-kira 15 ekor ikan termasuk toman dan sebarau dipancing menggunakan umpan serangga pancing layang ciptaan sendiri itu. Ikan itu kemudian dilepaskan semula untuk aktiviti memancing pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment