Ini ku petik dari metro yer.. saja..
TIDAK cukup dengan anak ketiga dalam tempoh tiga tahun, wanita yang diiktiraf sebagai ibu terkecil di dunia, Stacey Herald, merancang untuk menambah bilangan keluarganya.
Stacey, setinggi 71 sentimeter, memang sentiasa diperingatkan oleh doktor bahawa kehamilannya boleh mengancam nyawa.
Antara lain, tumbesaran janin di dalam rahimnya boleh menyebabkan paru-paru dan jantungnya remuk tertekan.
Namun setakat ini Stacey tetap berdegil dan nyawanya masih terselamat sebanyak tiga kali.
Wanita berasal dari Kentucky, Amerika Syarikat itu menderita penyakit genetik luar biasa dikenali sebagai Osteogenisis Imperfecta yang menyebabkan pembesaran normal badannya terhenti.
Selain itu paru-paru Stacey juga tidak membesar seperti sepatutnya, manakala tulangnya menjadi rapuh.
Dia bertemu dengan Wil, paderi daerah yang memiliki ketinggian 1.7 meter ketika bekerja di pasar raya di Kentucky pada 2000 sebelum mengambil keputusan berkahwin dan memulakan keluarga empat tahun kemudian.
Kata Stacey, walaupun membesarkan tiga anak menyebabkan dia kesuntukan masa, dia yakin keadaan itu hanya sementara.
"Saya melihat ada kemungkinan kami mendapat bayi lagi pada masa depan," katanya.
Menurut wanita itu, dia dan Wil memang mendengar pandangan doktor serta menghormatinya.
Bagaimanapun, katanya, bukan semua pendapat itu benar.
"Jadi, akhirnya saya dan Wil mengambil tindakan mengikut apa yang kami fikirkan terbaik," katanya.
Anak bongsu Stacey dan Wil diberi nama Malachi dan bayi lelaki itu kini berusia tujuh bulan.
Seperti kakak sulungnya, Kateri, 3, Malachi didapati mewarisi keadaan ibu mereka, manakala anak kedua pasangan itu, Makya, 2, mempunyai saiz sederhana.
Malachi dilahirkan pada November tahun lalu melalui pembedahan caesarian menegak yang memang jarang dilakukan.
Selepas berbulan-bulan dirawat di hospital kerana masalah pernafasan, Malachi akhirnya dibenarkan pulang pada bulan lalu.
Kata Stacey, Malachi dilahirkan tanpa satu pun tulangnya patah.
"Biasanya orang seperti kami akan patah tangan dan kaki kerana tulang di bahagian itu rapuh serta mudah rosak ketika proses bersalin," katanya.
Apabila dilahirkan, Malachi, setinggi 12.7 sentimeter dan seberat hanya 0.95 kilogram, terpaksa ditempatkan dalam inkubator untuk rawatan rapi.
Ketika baru berusia 17 hari, Malachi mengalami masalah kesihatan serius akibat jangkitan virus.
Apabila berusia empat minggu, bayi itu menghidap burut tahap serius dan mengancam nyawanya, memaksa doktor menjalankan pembedahan ke atasnya.
Kata Stacey, pada satu ketika doktor memberitahu mereka, jantung Malachi berhenti berdegup.
"Kami menjangkakan dia gagal diselamatkan, tetapi syukurlah doktor berjaya memulihkan Malachi. Bagi saya, ia adalah keajaiban," katanya.
Membesar dengan tangan dan kaki lebih kecil akibat mewarisi penyakit ibunya, Malachi beransur-ansur pulih hinggalah doktor membenarkan dia dibawa pulang baru-baru ini.
Di rumah, Stacey masih menyesuaikan diri membesarkan tiga anaknya bersama Wil.
Sementara itu, kata Wil, dia dan Stacey perlu lebih berhati-hati kerana ketiga-tiga anak mereka sangat istimewa.
"Kami perlu memberi lebih perhatian pada Kateri dan Makya bagi mengelak kedua-dua mereka melakukan sesuatu yang membahayakan ke atas Malachi," katanya.
Menurut Wil, apabila diberitahu anak bongsunya mewarisi penyakit Stacey, mereka berdepan kesedihan yang serius.
"Namun kami tahu kami mampu memberi sokongan terbaik kepadanya. Tambahan pula keadaan itu memang dialami Stacey dan Kateri," katanya.
Di rumah, tugas menjaga anak pada waktu malam, termasuk menukar lampin, menjadi tugas khusus Wil. Semuanya kerana keadaan fizikal Stacey yang tidak mengizinkan.
Hanya pada siang Stacey memberi susu badan kepada Malachi. Stacey juga melakukan tugas memandikan anak pada waktu siang menggunakan bekas khas.
Almari keluarga itu pula direka bagi membolehkan Stacey mencapai semua barang keperluan tanpa perlu dibantu Wil.
Kata Stacey, mereka kini sibuk dan sering kekurangan tidur.
"Membesarkan tiga anak memang mencabar walaupun untuk manusia normal," katanya.
Ketika Stacey terus terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak, dia juga berdepan cabaran menguruskan Makya yang lebih tinggi daripadanya.
"Saya tak boleh mengawal Makya secara fizikal jika dia meradang. Dia terlalu besar untuk saya. Itu tugas Wil," katanya.
Di sebalik kekalutan itu, bagi Stacey, semuanya menjadikan dia lebih akrab dengan Wil.
"Sejak melahirkan Malchi, cinta saya kepada Wil bertambah setiap hari," katanya. — Agensi
No comments:
Post a Comment